Pergerakan Pemuda UMNO hari ini mendesak Pas melaksanakan segera setiap janji yang mereka taburkan sebelum ini termasuk untuk berjuang membantu puak Taliban di Afghanistan.
Ketuanya, Datuk Hishammuddin Tun Hussein berkata, sebagai parti yang kononnya memperjuangkan Islam, Pas tidak sepatutnya terus membuat kenyataan berupa retorik semata-mata kerana cara tersebut hanya memburukkan nama agama, bangsa dan negara.
``Ketua Pemuda Pas, Mahfuz Omar tiap-tiap hari buat kenyataan, sebelum ini buat kenyataan mahu berjihad di Afghanistan, tetapi sampai hari ini belum berlaku juga. Jadi kita tunggu apa tindakan mereka,'' katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Liga Bola Sepak Pergerakan Pemuda UMNO peringkat kebangsaan di Institut Perguruan Darul Aman (IPDA), di sini.
Menurut Hishammuddin, Pas seharusnya mengikut contoh Pemuda UMNO yang antara lain mengambil pendekatan mengumpul sumbangan daripada orang ramai bagi membantu mereka yang menderita di Afghanistan.
Setakat ini RM1.3 juta berjaya dikumpul oleh pergerakan itu selain kira-kira 20 tan sumbangan berupa barang seperti pakaian dan selimut.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, Pas sekiranya ingin menggunakan sesuatu isu sebagai bahan politik, perlu mengikut landasan yang munasabah.